Mengenai Kami

Inovasi Baru Kawalan Nyamuk

Penemuan MMA

Penemuan sejenis sebatian kimia berasaskan tumbuhan lebih daripada lima tahun yang lalu merupakan satu detik bersejarah apabila sebatian ini kemudiannya telah berjaya dibuktikan secara saintifik mampu untuk berfungsi seakan feromon untuk menarik perhatian nyamuk kepada punca sebatian tersebut.

Dicipta sepenuhnya oleh warga tempatan, sebatian ini dinamakan Malaysian Mosquito Attractant, atau MMA dan dari detik itu bermula pelbagai idea dan percubaan-percubaan untuk mengaplikasikan sebatian ini ke dalam pelbagai bentuk produk konsumer untuk tujuan kawalan pembiakan nyamuk.

Lingkaran Nyamuk Inovasi Spokojan

Lingkaran nyamuk popular sebagai satu produk yang ringkas, murah, dan sebati dengan kehidupan seharian rakyat Malaysia. Penghasilan lingkaran nyamuk daripada bahan-bahan kitar semula seperti serbuk kayu dan tempurung kelapa juga lebih mesra alam berbanding produk pengawalan nyamuk yang lain.

Terbaru, hasil usahasama di antara Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC), Universiti Malaya dan juga Semio Technology Sdn Bhd – sebuah syarikat terbitan Universiti Malaya, satu produk inovasi lingkaran nyamuk telah dibangunkan dan kini dalam proses pengkomersilan. Dua buah paten telah difailkan untuk melindungi ketulenan ciptaan ini.

Keputusan untuk mengaplikasikan sebatian MMA ke dalam lingkaran nyamuk ternyata mampu memaksimumkan potensi sebenar MMA. Lingkaran nyamuk inovasi yang dinamakan Spokojan ini (Spokojan = ketenangan) mampu untuk menarik perhatian nyamuk ke arah lingkaran nyamuk dan kemudiannya membunuh nyamuk tersebut menggunakan kepekatan insektisid yang sedia ada di dalam lingkaran nyamuk. Ini terbukti bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan untuk mengawal populasi nyamuk, namun kini penggunaan lingkaran nyamuk inovasi dapat diaplikasikan di luar rumah.

Aplikasi Pembakaran Lingkaran Nyamuk di Luar Rumah

Mengambilkira pelbagai permasalahan dan kebimbangan umum berkenaan bahaya membakar ubat nyamuk di dalam rumah seperti faktor sebagai punca kebakaran dan penghasilan asap yang toksik kepada manusia terutamanya kanak-kanak, satu sistem pemegang dan pembakar lingkaran nyamuk inovasi Spokojan dicipta khusus untuk aplikasi di luar rumah.

Dengan membakar lingkaran nyamuk di luar rumah, populasi nyamuk yang selalunya berada di persekitaran luar dapat dikawal dengan lebih sempurna dan efektif disamping dapat meminimumkan risiko sebagai punca pembakaran dan pelepasan asap toksik lingkaran nyamuk kepada manusia.

Selain itu, sistem pemegang dan pembakar lingkaran nyamuk ini bukan sahaja berkonsepkan mesra alam dan mempunyai ciri-ciri tahan api dan cuaca seperti hujan dan angin, malah ia juga mampu menjadi penyeri keindahan halaman rumah dengan pelbagai reka bentuk yang menarik dan elegan.

Penglibatan Industri Pembuatan Labu Sayong

Industri pembuatan tembikar tanah liat di Sayong, Perak kini dirancakkan kembali dengan penglibatan mereka di dalam penghasilan salah satu bahagian utama sistem pemegang dan pembakar lingkaran nyamuk Spokojan.

Pelbagai rekabentuk yang menarik dan mempunyai ciri-ciri seni ukiran kebanggaan tempatan kini mampu diketengahkan kembali kepada umum melalui kerjasama ini.

Ini bukan sahaja mampu untuk menghidupkan kembali minat umum kepada seni tradisional warisan negara, malah ia juga akan membantu merancak dan meningkatkan ekonomi setempat yang semakin pudar di Sayong, Perak.

Penglibatan Komuniti Orang Asli di Jelebu

Melalui satu skim geran program pemindahan ilmu daripada Jabatan Pengajian Tinggi, satu program komuniti telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli dan komuniti Kampung Orang Asli Dusun Kubur, Jelebu Negeri Sembilan di mana setiap isi rumah dibekalkan dengan sistem pemegang dan pembakar lingkaran nyamuk serta stok lingkaran nyamuk Spokojan untuk digunakan selama setahun secara percuma.

Kampung Orang Asli Dusun Kubur dipilih berdasarkan permasalahan nyamuk yang dihadapi oleh penduduk di dalam dan juga di luar rumah semasa menjalankan aktiviti pertanian dan penorehan getah.

Selepas sebulan menggunakan produk inovasi Spokojan, maklumbalas yang diterima oleh para penduduk sangat memberangsangkan di mana masalah nyamuk yang dihadapi oleh mereka sejak lamanya kini berjaya diselesaikan.

Sebagai salah satu objektif utama skim geran, penduduk juga diberi peluang untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dengan melibatkan diri di dalam industri pembuatan tangan salah satu bahagian sistem pemegang dan pembakar lingkaran nyamuk Spokojan.

Usaha ini dilihat bukan sahaja merupakan salah satu kisah kejayaan di mana produk inovasi Spokojan berjaya menyelesaikan permasalahan komuniti, malah dapat menjana peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Kemampuan Pemindahan Teknologi dan Potensi Pasaran

Produk inovasi Spokojan merupakan sebuah produk yang ringkas secara konsepnya di mana komponen-komponen utama hanyalah terdiri daripada sebatian MMA, selain pematuhan kepada dua buah paten yang telah difailkan. Sehubungan itu, pemindahan teknologi kepada rakan industri di dalam dan di peringkat antarabangsa adalah satu proses yang mudah dan tidak merumitkan memandangkan adanya pengilang-pengilang pembuatan lingkaran nyamuk yang sedia ada di serata dunia selain potensi pasaran yang besar dan permintaan yang tinggi di hampir semua negara-negara yang mempunyai masalah pengawalan nyamuk di seluruh dunia.